Buku kanak-kanak merupakan suatu bentuk bahan bacaan yang ditulis dan ditawarkan kepada kanak-kanak dan dibaca (atau digunakan) oleh mereka. Ia selalunya mengandungi apa-apa yang difikirkan oleh golongan dewasa dan boleh difahami oleh kanak-kanak dan apa-apa yang dibenarkan untuk difahami oleh golongan kanak-kanak. Ini bermakna buku kanak-kanak—yang juga dirujuk kepada sastera kanak-kanak—mengandungi informasi dan perlakuan yang dibenarkan oleh golongan dewasa yang menulis dan menerbitkan bahan bacaan tersebut.
Semua buku kanak-kanak perlu “mengajar sesuatu” bukan setakat “memberitahu” kerana khalayak utamanya ialah kanak-kanak, iaitu golongan yang kurang berpengalaman dan kurang berpendidikan. Minda dan anggota badan mereka juga belum mencapai kematangan. Oleh itu, bahan bacaan yang bersesuaian amat diperlukan dalam usaha membentuk keperibadian dan keintelektualannya kerana pada ketika inilah kanak-kanak mula mengenali diri dan keadaan sekeliling mereka. Sifat dan daya berfikir mereka yang jauh berbeza daripada golongan dewasa menyebabkan bahan bacaan untuk mereka juga berbeza. Oleh itu, pihak yang terlibat dalam penghasilan buku kanak-kanak perlu mengetahui keperluan—sama ada dari segi emosi mahupun fizikal—golongan ini.